Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
KPLB bantu perkasa program vaksinasi di pedalaman Sabah -

KPLB bantu perkasa program vaksinasi di pedalaman Sabah

BAGI mempercepatkan proses vaksinasi masyarakat luar bandar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melaksanakan Operasi Vaksin Penilaian Pantas atau Rapid Assessment Vaccination Operation (RAVO).

Program di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan anak syarikatnya, Mara Liner Sdn Bhd, menjalin kerjasama dengan Pusat Kesihatan Daerah Papar, bergerak dari rumah ke rumah penduduk.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan program vaksinasi secara mobil itu adalah bagi memudahkan urusan logistik masyarakat tempatan untuk menerima vaksin.

“Keprihatinan KPLB dan Mara ini merupakan komitmen kementerian dan agensi dalam mendokong pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 bagi membolehkan semua masyarakat di luar bandar khususnya hari ini di DUN Pantai Manis untuk menerima suntikan vaksin sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas simbolik pelancaran Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB/MARA/PKD Wheel RAVO dan lawatan ke Pusat Vaksinasi Papar bagi meninjau sendiri proses pemberian suntikan vaksin kepada masyarakat luar bandar di Papar hari ini.

Mahdzir berkata, program RAVO melibatkan 21 buah perkampungan di Papar meliputi 1,500 orang masyarakat luar bandar yang masih belum menerima suntikan vaksin.

”Selain Papar, program juga akan meliputi kawasan Kinabatangan, Beaufort dan Tawau dengan sasaran tujuh ribu penduduk akan divaksin. Enam buah bas MARA Liner diubah suai menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan sembilan buah kaunter vaksinasi termasuk untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata, proses suntikan akan dilaksanakan selama satu minggu bermula 1 hingga 7 Disember ini dan menggunakan tujuh unit kenderaan pacuan empat roda dan satu unit van sebagai kemudahan pengangkutan.

Dalam lawatan itu, Mahdzir turut menyampaikan sumbangan pelitup muka, panel pelindung muka, cecair sanitasi tangan dan lima buah kerusi roda bagi kegunaan penerima vaksin di pusat vaksinasi PKD Pengalat Besar Papar.

Turut disampaikan, bantuan kemudahan lain kepada pasukan petugas PKD dan sukarelawan kesihatan.