Kailan ikan masin RM18: Mungkin juruwang silap masukkan harga pesanan

0
542

PEMILIK restoran makanan Anjung Ikan Bakar Nory di Kepala Batas, Pulau Pinang, yang didakwa menjual sebungkus sayur kailan ikan masin sebanyak RM18 tampil membuat penjelasan mengenai harga yang dikatakan tidak setara dengan kuantiti.

Menurut laman Facebook restoran berkenaan, insiden tersebut mungkin berlaku akibat salah faham yang tidak disengajakan daripada pihak restoran sewaktu menyediakan hidangan pelanggan.

Menerusi hantaran itu, pengurusan restoran berkenaan menjelaskan, harga masakan sayur kailan ikan masin adalah berbeza mengikut permintaan dengan memaparkan gambar menu yang ditawarkan.

Kenyataan itu berkata, harga menu itu bagi hidangan saiz kecil dijual pada harga RM6 diikuti RM12 (ukuran sederhana) dan RM18 (ukuran besar).

“Mungkin ada kesilapan yang tak disengajakan daripada pihak kami . Harap perkara itu tidak berlaku lagi. Kesilapan kami, mungkin juruwang kami tersilap memasukkan harga pesanan hidangan bersaiz besar (L).

“Ataupun mungkin pesanan dibuat bersaiz besar tetapi pekerja bahagian dapur telah menyediakan hidangan tersebut bersaiz kecil (berdasarkan gambar yang tular),” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, pemilik restoran berkata, pelanggan yang berdepan dengan isu tersebut sepatutnya tampil bertemu dengan mereka secara terus dan bukannya dengan memuat naik di laman media sosial sehingga menjadi tular.

“Jika pihak kami silap, boleh datang terus bertemu kami untuk menyelesaikan isu ini dan bukan ditularkan (di media sosial),” kata kenyataan itu lagi.

Pada Ahad, seorang pelanggan mendakwa telah membeli sebungkus kailan ikan masin bagi seorang makan pada berharga RM18 di sebuah restoran di Kepala Batas.

Tanpa mendedahkan nama restoran terbabit pelanggan tersebut berkongsi pengalamannya di media sosial apabila memuat naik gambar resit serta bungkusan sayur kailan ikan masin yang didakwa terlalu mahal dan tidak setara dengan kuantiti.

Resit berkenaan turut memaparkan harga lauk jenahak RM90, sayur campur (RM9) serta ulan dan sambal (RM5) dengan nilai keseluruhan RM122. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here