Sebak! Shuib dedah perbualan akhir dengan Siti Sarah dalam MV Tinggalkan Diriku

0
260

BAIT-bait lirik yang begitu menusuk hati bagaikan kena dengan apa yang sedang dilalui sekarang.

Itu juga yang dirasakan oleh Shuib apabila mendengarkan semula lagu Tinggalkan Diriku yang dinyanyikan oleh Allahyarham Siti Sarah semasa awal kemunculan dahulu.

Rentetan daripada itu, Shuib mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah video muzik (MV) khusus untuk mengenang kembali sosok wanita yang amat dikasihinya itu.

“Enam hari selepas pemergian Siti Sarah saya ads menerima kiriman lagu Tinggallan Diriku. Lagu ini dirakamkan ketika sesi latihan Showcase Siti Sarah pada tahun 2008.

“Rasa sebak, hiba dan segala rasa hadir tatkala mendengarkan semula lagu itu. Cara penyampaian Siti Sarah begitu berbeza dan istimewa sekali seakan sudah tahu apa yang bakal terjadi nanti.

Bait-bait lirik yang cukup indah begitu dirasakan sekarang,” kata bapa kepada empat orang anak ini.

Untuk terus mengenang arwah isterinya, dia menghasilkan sebuah MV khusus dibuat secara animasi.

Paling hiba apabila dia turut menyelitkan perbualan akhir bersama Siti Sarah sebelum ‘ditidurkan’ beberapa hari sebelum wanita berkenaan pergi buat selama-lamanya pada 9 Ogos lalu.

“Dalam MV ini saya selitkan perbualan akhir bersama Siti Sarah untuk memberikan kata-kata semangat dan memujuk arwah untuk ‘ditidurkan’.

“Ini adalah momen paling sukar dalam hidup saya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak. Perbualan tersebut adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak,” kata Shuib lagi.

Tinggalkan Diriku merupakan hasil ciptaan Aidit Alfian dan lagu ini dimuatkan dalam album Mimpi Pun Sama yang dikeluarkan pada 2003.

MV lagu ini pula boleh ditonton hari ini melalui YouTube Shuib Channel bermula pukul 3 petang. – SB