Pengganti Mohd Rafiq akan diumum dalam masa terdekat – Muhyiddin

0
271

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, pengganti Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka akan diumum dalam masa terdekat.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tidak menolak, menerusi pengumuman tersebut nanti akan turut melibatkan rombakan kepimpinan BPN Melaka sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Nanti saya akan putuskan siapa yang bakal mengganti ataupun rombakan yang lain dalam tempoh beberapa hari kehadapan.

“Tindakan diambil Datuk Mohd Rafiq ini sebagai langkah terhormat selain memudahkan rombakan BPN dapat dibuat susulan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga, Pagoh, hari ini.

Mohd. Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu mengumumkan peletakan kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa semalam dan surat rasmi peletakan jawatannya akan diserahkan kepada Muhyiddin hari ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai PN dan Bersatu Melaka supaya mempunyai masa yang cukup membuat segala persiapan menghadapi PRU-15.

Tambah Mohd Rafiq, langkah tersebut juga membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU-15. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here