PENGELUAR roti tempatan, Gardenia Bakeries pada Khamis mengeluarkan notis jangkaan kenaikan harga produk keluaran mereka berkuat kuasa mulai 1 Disember ini.
Menurut syarikat itu, kenaikan harga yang dikenakan kepada produk mereka itu adalah susulan peningkatan kos bahan mentah serta caj pengangkutan.
Tinjauan SatuBerita terhadap pandangan orang ramai di sekitar Taman Len Sen, Cheras, Kuala Lumpur berhubung isu ini, rata-rata daripada mereka mengatakan kenaikan harga roti itu tidak sesuai dengan keadaan semasa.
Bagi Emran Mohd Shah, 50, rakyat Malaysia masih terkejut dan terkesan dengan harga barangan lain di pasaran yang turut meningkat secara mendadak selain baru sahaja ingin memulakan pemulihan ekonomi masing-masing.
“Pihak pengurusan tertinggi Gardenia sepatutnya memikirkan masalah yang ada sekarang ini. Tunggulah masa yang sesuai untuk menaikkan kadar harga roti itu. Saya fikir rakyat boleh terima dengan kenaikan harga yang sedikit, kita juga faham kos semakin meningkat.
“Tetapi pandanglah pada keadaan sekarang yang masih tak sesuai. Makanan ini orang-orang susah pun makan makanan ini. Kalau orang-orang ‘kayangan’ saya fikir tiada masalah kalau naik 10 sen, 20 sen. Tapi untuk masyarakat yang berpendapatan rendah, ini akan jadi masalah buat mereka,” katanya kepada SatuBerita.
Sementara itu, Majid Baharom, 55, ketika ditemui berkata, biarpun rakyat boleh menerima kenaikan harga roti, namun apabila ia dikenakan ketika harga barangan lain yang turut meningkat, ia sedikit sebanyak menambah bebanan kepada rakyat.
“Orang yang mampu mereka tak kisah, mereka berduit. Bila barang naik mendadak ni, semua mengeluh. Memang la naik 20, 30 sen sahaja, tapi bila kita nak beli banyak, jadi 3 ke 4 ringgit juga.
“Kita sebagai pengguna pun nak buat macamana? Terima sahajalah. Kita mampu nak beli, kita beli, kita tak mampu nak beli, kita tak beli. Macamtu sahaja lah,” ujarnya.
Bagi Nur Shafiqah Muhd Sharif, 30, dia berpendapat tindakan Gardenia meningkatkan harga terhadap produk mereka tidak wajar memandangkan beban rakyat dengan situasi semasa adalah berkali ganda jika dibandingkan dengan beban yang ditanggung syarikat berkenaan.
“Mereka naikkan harga kerana terkesan akibat pandemik. Kalau terkesan kerana pandemik ini… rakyat lagi terkesan sebenarnya. Kalau mereka naikkan lagi harga, maka kesan kepada rakyat itu berganda lah.
“Kita pun baru sahaja diwar-warkan dengan kenaikan harga sayur lagi. Saya rasa belum wajar lagi untuk dinaikkan harga.
“Roti ni orang kata makanan kedua selepas nasi lah. Waktu PKP dulu pun yang habis dulu apa? Roti. Jadi, waima dia naik 1 sen sekalipun, ia cukup memberi kesan kepada rakyat Malaysia, katanya.
Sebagai rekod, harga baharu pengguna yang akan bermula 1 Disember ini, termasuk RM2.80 bagi sebuku Gardenia Original Classic 400g, yang meningkat daripada RM2.50.
Antara lain, Gardenia Original Classic Jumbo 600g pula kini berharga RM4, naik daripada RM3.55, manakala harga roti Gardenia Bran & WheatGerm 400g, yang kini RM2.50 akan dinaikkan kepada RM2.90.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.