[VIDEO] Tiga lelaki direman bantu siasatan kes bunuh di Flat Ashby Road

0
538

POLIS mendapat kebenaran reman tujuh hari yang bermula hari ini ke atas tiga lelaki termasuk dua beranak bagi membantu siasatan susulan daripada kes bunuh seorang lelaki di pasar pagi Flat Ashby Road, Ipoh semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Azreen Liyana Mohd. Darus mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Reman tujuh hari dikeluarkan terhadap suspek berusia 60 dan anak lelakinya berusia 34 tahun dan seorang lagi berusia 47 tahun itu akan berakhir Khamis depan.

Kesemua suspek yang ditahan semalam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, dalam kejadian sekitar pukul 9.30 pagi, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergaduhan dengan tiga suspek yang dikatakan berpunca daripada isu kecurian pembesar suara mudah alih.

Suspek yang dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa dipercayai mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka sehingga berlaku pertengkaran mulut yang akhirnya membawa kepada pergelutan.

Mangsa yang dipercayai mempunyai masalah mental itu meninggal dunia di tempat kejadian dengan sebilah pisau lipat dijumpai di lokasi sama.  – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here