Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Puad Zarkashi gagal ketepi injunksi Muhyiddin -

Puad Zarkashi gagal ketepi injunksi Muhyiddin

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menolak permohonan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi untuk mengetepikan injunksi interim sebelah pihak (ex-parte) bagi menghalang beliau daripada menerbitkan semula kenyataan yang didakwa berbaur fitnah di laman Facebooknya berhubung perintah kuarantin membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril turut menolak permohonan Muhyiddin untuk melanjutkan injunksi diperoleh beliau pada 1 Mac sementara menunggu pelupusan saman fitnahnya terhadap Mohd Puad, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau berkata, mahkamah mendapati bahawa tidak ada keperluan untuk memutuskan kedua-dua permohonan kerana ia telah luput memandangkan Mohd Puad sudahpun mematuhi perintah injunksi interim ex-parte sebelum ini dengan mengeluarkan kenyataan terbabit, yang menjadi punca tindakan perundangan itu diambil oleh Muhyiddin.

Mohd. Firuz kemudian menetapkan 9 Disember sebagai pengurusan kes. 

Peguam, Datuk DP Naban dan Rosli Dahlan mewakili Muhyiddin manakala G. Rajasingam dan Shahrul Fazli Kamarulzaman hadir bagi pihak Mohd. Puad.

Muhyiddin memohon perintah injunksi interim bagi menghalang Mohd. Puad, ejen, wakil atau sesiapa daripada menerbitkan semula, membuat hantaran dan berkongsi kenyataan yang didakwa berbaur fitnah di laman Facebook Mohd. Puad.

Menerusi writ saman yang difailkan dalam kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa pada 8 Februari lepas, Mohd. Puad telah menerbitkan satu hantaran di laman Facebook di bawah nama ‘Dr. Puad Zarkashi’ dengan tajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’

Beliau mendakwa, hantaran itu boleh diakses oleh pengguna Internet di seluruh dunia dan telah menerima 1,200 reaksi, 215 komen dan 182 perkongsian.

Katanya, hantaran itu merujuk kepada ‘PM’ yang merupakan singkatan kepada Perdana Menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat serta memfitnah beliau.

Muhyiddin mendakwa kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia. – Bernama