Mohd. Rafiq letak jawatan Ketua Bersatu Melaka, Pengerusi PN negeri

0
475

Oleh RAHIMI MOHAMAD

NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan parti itu di Melaka berkuat kuasa serta merta.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu turut melepaskan jawatan selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka yang disandang beliau.

Mohd. Rafiq berkata, surat rasmi peletakan jawatannya akan diserahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN, esok.

Beliau berkata, keputusan itu bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru untuk mengetuai Bersatu dan PN Melaka supaya mempunyai masa yang cukup bagi membuat segala persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya ingin memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka.

“Peletakan jawatan ini juga bagi membolehkan segala fokus dapat saya berikan untuk memperkukuh kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan Bersatu bahagian itu,” katanya dalam kenyataan disiarkan di Facebooknya sebentar tadi.

Tambah Mohd. Rafiq, langkah tersebut juga membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU-15.

“Saya berharap dan berdoa agar rakyat Melaka dan rakyat Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin dan moga-moga PN akan mencapai kejayaan yang cemerlang pada PRU-15 yang bakal tiba nanti,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Mohd. Rafiq hanya meraih 3,979 undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, tewas dengan majoriti 2,076 undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang memperoleh 6,052 undi.

Beliau antara empat pemimpin tertinggi parti di Melaka yang tewas dalam pilihan raya itu di samping Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew; Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Seri Michael Gan Peng Nam dan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Kamarudin Sidek. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here