KPDNHEP Kelantan lantik 41 pemborong, 53 peruncit persediaan banjir

0
244

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan melantik 41 pemborong utama dan 53 peruncit terpilih di setiap daerah di negeri ini sebagai persediaan menghadapi banjir.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keberadaan bekalan barang kawalan dan keperluan asas mencukupi, mudah diperoleh dan dijual dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan serta berpatutan.

Katanya, pelaksanaan menerusi Pelan Kontigensi Banjir itu akan dijalankan melalui tiga fasa persediaan iaitu sebelum, semasa dan tempoh pemulihan selepas fenomena bencana alam banjir di negeri ini.

“Pelaksanaan ini adalah melalui tindakan Seksyen Penguat Kuasa, dan pemborong dan peruncit yang terpilih membabitkan setiap daerah mengikut 26 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kawasan berisiko yang terlibat. 

“Pemborong dan peruncit barang kawalan dan barang keperluan asas yang dilantik ini merupakan pemegang stok mini hendaklah memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, menerusi pelantikan itu, mereka dibenarkan menambah had simpanan bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus kuantiti daripada had simpanan sedia ada yang dibenarkan dalam lesen asal barang kawalan berjadual semasa tempoh musim bencana ini. 

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa mempergiatkan pemeriksaan harian dan memantau kedudukan bekalan barang kawalan dan keperluan asas peringkat pemborong utama dan peruncit yang dilantik dari semasa ke semasa oleh 133 Pegawai Penguat Kuasa dan 90 Pegawai Pemantau Harga. 

“Tindakan secara legalistik tanpa kompromi terhadap peniaga yang menyorok, enggan menjual dan meyeleweng serta menjual melebihi harga maksimum akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan barangan kawalan dan keperluan asas sentiasa berada dalam pasaran serta mengawal mengikut harga yang berpatutan dalam pandemik dan bencana banjir ini. 

“Pengguna tidak perlu resah dengan membuat pembelian secara banyak atau melebihi kawalan kerana bekalan barang kawalan dan barang keperluan asas sentiasa mencukupi. Selain itu, amaran dan tindakan tegas akan diambil oleh pegawai kami bersama agensi penguatkuasaan di sempadan negara sekiranya berlaku ketirisan, penyelewengan atau penyorokan oleh individu atau syarikat yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Adnan berkata, Bilik Gerakan iaitu Enforcement Command Centre turut diaktifkan bermula 8 pagi hingga 10 malam termasuk seluruh cawangan pentadbiran KPDNHEP Kelantan iaitu Cawangan Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang untuk menerima sebarang aduan berkaitan.

  • Bernama
     

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here