KPDNHEP bakal umum langkah atasi kenaikan harga barang

0
293

LANGKAH-langkah tertentu bagi membendung kenaikan harga barangan keperluan akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian itu telah mengadakan satu pertemuan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Khamis bagi membincagkan isu tersebut dengan lebih terperinci.

“KPDNHEP sedar akan kenaikan harga barang keperluan jadi seperti mana yang dimaklumkan serta dijelaskan sebenarnya kenaikan ini adalah menyeluruh bukan sahaja di negara kita, di negara lain pun seperti ayam, sayur-sayuran dan telur.

“Semalam tiga kementerian duduk bermesyurat di mana kami berbincang bagaimana dalam masa terdekat ini berbuat sesuatu langkah-langkah yang mungkin dapat mengawal keadaan ini dan kalau boleh kita kurangkan harga barangan keperluan, saya minta sabar sedikit lagi untuk pengumuman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan cawangan 99 Speedmart ke-2,000 di puncak Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, perkara itu dijangka akan diumumkan dalam masa seminggu atau dua minggu lagi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kebanyakan punca kenaikan harga barangan keperluan adalah diluar kawalan pihak kementerian.

Katanya, isu itu bukan sahaja melibatkan peningkatan kos makanan ayam, malah ia turut membabitkan kos operasi di ladang-ladang.

“Kita tengok (nanti) bagaimana kita menangani masalah ini, kita tengok secara keseluruhannya bagaimana untuk membantu penternak-penternak ini mengurangkan kos operasi mereka baru lah boleh kawal (harga) nanti.

“Kita akan buat dalam masa terdekat, saya mohon sabar sedikit kerana kita ada langkah-langkah tertentu sudah dibincangkan untuk mengatasi masalah harga ayam dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, isu baja dan racun pula adalah dibawah bidang kuasa MAFI yang lebih arif dalam perkara tersebut serta berjanji akan melaksanakan sesuatu setelah mencapai kata sepakat dalam mencari penyelesaian isu kenaikan harga barang keperluan.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here