Guru wanita berputih mata RM140,000 lesap angkara ‘pegawai polis’

0
241

Oleh RAHIMI MOHAMAD

GURU sambilan wanita rugi RM140,000 apabila ditipu dua lelaki menyamar polis yang memperdaya mangsa kononnya sebagai bayaran untuk mengurangkan hukuman terhadap abangnya yang disabit kes dadah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 38 tahun itu hanya menyedari ditipu setelah suspek meminta bayaran tambahan RM50,000 lagi beberapa hari selepas bayaran pertama.

Polis menerima laporan dibuat mangsa pada pukul 12.52 tengah hari, kelmarin yang memaklumkan dia ditipu dua suspek.

“Kejadian berlaku pada 11 November lalu ketika mangsa berada di rumah telah didatangi seorang suspek lelaki menaiki kereta yang mempunyai lambang polis.

“Suspek itu kemudian meminta pengesahan sama ada wanita itu mengenali individu bernama Woon Kim Foo iaitu abang kepada mangsa yang telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan.

Raub berkata, suspek telah mengarahkan mangsa untuk berhubung dengan seorang lelaki iaitu suspek kedua yang dikenali sebagai Tuan Nazri dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di talian 016-4420728.

“Ketika menghubungi suspek kedua itu, mangsa dimaklumkan sekiranya ingin mengurangkan hukuman terhadap abangnya, mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM100,000 ke akaun yang telah diberikan sebagai syaratnya.

“Keesokkan harinya, mangsa telah membuat pemindahan wang tersebut dan memaklumkan kepada suspek mengenai perkara itu,” katanya.

Tambah Raub, selepas menerima bayaran RM100,000, suspek meminta mangsa untuk membuat pemindahan wang tambahan sebanyak RM40,000 sebelum mangsa melakukannya pada hari sama.

Setelah kesemua transaksi dibuat, mangsa telah ke IPK Johor dan berhubung dengan suspek kedua semula namun tiada sebarang jawapan yang diterima dari suspek.

Namun, katanya, mangsa telah menerima panggilan semula dari suspek tidak lama kemudian menggunakan nombor 07-2254422 yang memintanya untuk pulang ke rumah.

“Selang beberapa hari kemudian, suspek telah menghubungi mangsa dan meminta mangsa untuk membuat pembayaran tambahan berjumlah RM50,000.

“Namun kali ini, mangsa enggan membuat sebarang bayaran kerana mengesyaki dirinya ditipu suspek,” ujarnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here