SOP PRN Sarawak dimuktamad 30 November ini

0
265

PROSEDUR Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 khusus bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak telah diadakan tengah hari tadi mengenai pelaksanaan SOP berkenaan, dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang telah ditugaskan menyelaras perkara itu dengan kerajaan Sarawak.

“Ada beberapa perkara perlu diperhalusi, saya telah memberi masa sehingga 30 November ini untuk dimuktamadkan dan kemudian ia akan diusulkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan hari ini.

SPR menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember, manakala hari pengundian awal pada 14 Disember.

Sementara itu berkenaan isu Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang dijangka memulakan siri mogok kedua di seluruh negara berkaitan masalah lantikan tetap, Khairy berkata pihaknya akan mengemukakan satu memorandum kepada Jemaah Menteri bagi mencari penyelesaian jangka masa panjang berkenaan isu itu dalam masa terdekat.

Baru-baru ini beberapa media melaporkan pergerakan Hartal Doktor Kontrak akan mengadakan satu mogok selepas mendakwa Bajet 2022 tidak menyelesaikan masalah doktor kontrak. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here