Pulau Pinang sekali lagi tegaskan tidak akan bayar kepada Kedah

0
422

KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sekali lagi menegaskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan membayar caj sumber air mentah setahun seperti dibangkitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menerusi Facebook beliau semalam.

Menurut Kon Yeow berkata, pendirian Pulau Pinang itu juga telah berulang kali dinyatakan secara rasmi sebelum ini.

“Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Kedah yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook beliau.

“Saya dengan ini menegaskan bahawa pendirian Pulau Pinang sudah banyak kali dinyatakan secara rasmi.

“Kita tidak akan bayar kerana isu bayaran adalah tidak berbangkit, ini kerana kita ambil air dari sempadan negeri kita, nampaknya Kedah masih tidak mahu faham,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi menerusi Facebook sekali lagi membangkitkan mengenai tuntutan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas memuat naik gambar beliau bersama Kon Yeow dalam satu pertemuan di Istana Negara.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.

Menurut Muhammad Sanusi, tuntutan bayaran air mentah ini adalah untuk negeri dan rakyat Kedah dan wajar serta munasabah kerana pengorbanan Kedah menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar.

Namun, Kon Yeow dalam pertemuan itu menjelaskan Pulau Pinang tidak mampu membayar kerana hasil negeri itu tidak banyak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here