MyKad hilang: 68 individu buat laporan polis palsu

0
296

MENDAKWA menjadi mangsa samun dan ragut, itu antara alasan digunakan 68 individu yang membuat laporan palsu berhubung kehilangan kad pengenalan diri (MyKad) sejak Januari hingga 21 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata, kesemua individu berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun itu sebenarnya menggunakan alasan itu bagi mengelakkan didenda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad disebabkan kecuaian sendiri.

“Kesahihan setiap laporan polis yang dibuat itu diketahui selepas pegawai penyiasat menyiasat lanjut berkaitan dengan apa yang dilaporkan oleh pengadu.

“Kejadian yang dilaporkan hanyalah rekaan semata-mata dan kehilangan MyKad berlaku adalah atas kecuaian sendiri,” katanya kepada pemberita.

Beh berkata daripada 68 kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 59 telah dituduh di mahkamah manakala sembilan lagi sedang disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Pihak polis memandang serius perkara ini kerana individu tidak bertanggungjawab membuat laporan palsu akan membazirkan masa, tenaga pegawai penyiasat dan wang kerajaan untuk menyiasat kes tidak wujud,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang awam supaya mematuhi undang-undang dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here