Dua langkah segera kerajaan patut buat atasi kenaikan harga ayam – FLFAM

0
1230

KERAJAAN perlu mempercepatkan kelulusan cadangan pinjaman mudah serta memberikan subsidi bahan mentah kepada penternak-penternak di seluruh Malaysia bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga semasa ayam di pasaran.

Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Tan Chee Hee berkata, desakan itu bersesuaian untuk mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh penternak dengan kenaikan harga bahan mentah di seluruh dunia.

“Ada beberapa faktor utama berhubung punca kenaikan harga ayam iaitu, kenaikan harga bahan mentah seperti jagung atau kacang soya untuk diberikan kepada ayam ternakan, kekurangan pekerja, ketidaktentuan cuaca, dan juga permintaan yang tinggi setelah PKP dilonggarkan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Katanya, bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga bahan mentah, pihaknya telah menghantar surat cadangan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menyediakan pinjaman mudah kepada penternak.

“Harga bahan mentah yang meningkat 50%-70% telah menyebabkan penternak menanggung kos tambahan pada peratusan yang sama. Jadi cadangan ini penting bagi menyelesaikan perkara ini.

“Sebelum ini, ketika PKP kerajaan ada memberikan peruntukan moratorium kepada penternak. Namun, perkara itu layak dimohon untuk penternak kecil-kecilan sahaja. Kesemua penternak mengalami kerugian kerana PKP, bank komersial juga tidak dapat luluskan kerana sebab itu. Kita semua ada masalah yang sama.

“Jadi kami harapkan kerajaan percepatkan untuk luluskan cadangan pinjaman mudah ini. Bila ada wang tambahan untuk bahan mentah dan tanggung operasi yang kerugian sekaligus bekalan ayam bertambah, segalanya akan kembali normal,” ulasnya.

Beliau menambah, pihaknya memahami bahawa agak sukar untuk pihak kerajaan meletakkan harga siling kepada bahan mentah ekoran kenaikan harga itu turut berlaku di pasaran global.

Namun, pihaknya percaya sekiranya pihak kerajaan memberikan subsidi bahan mentah kepada penternak, perkara ini sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam.

“Agak susah untuk kerajaan letak harga siling kerana ini juga melibatkan harga pasaran dunia. Jadi dengan situasi semasa, tidak salah kerajaan memberikan subsidi kepada penternak.

“Cara ini juga boleh membantu penternak kecil membeli bahan mentah yang terbaik untuk ayam ternakan mereka. Pada saya, memberikan subsidi adalah antara cara terbaik. Jika dapat dilakukan, perkara ini dapat memberikan ‘immediate effect’ kepada harga ayam di pasaran,” ulasnya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here