[VIDEO] PRN Sarawak pada 18 Disember

0
336

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini turut mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 6 Disember, manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Pengumuman itu dibuat beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di Kuching, Sarawak hari ini.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Jan sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan COVID-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.

Darurat ini ditarik balik pada 3 November, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.

Sementara itu, Abdul Ghani menerusi satu kenyataan yang diedarkan semasa majlis pengumuman itu memaklumkan 1,252,014 orang pengundi di Sarawak layak mengundi dalam PRN ini dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan; 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Beliau berkata seramai 46,565 orang petugas SPR akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN itu.

Sebanyak 1,866 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan. 

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 buah dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here