DAKWAAN beberapa pihak yang mengatakan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal di ditutup adalah tidak benar.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan, kes tersebut tidak pernah ditutup malah pihaknya mengalu-alukan jika ada maklumat baru mengenainya.
Abd. Jalil berkata, sehingga kini tiada maklumat terkini diterima pihak polis bagi membantu siasatan.
“Kita tidak pernah tutup kes ini dan tidak ada rujukan untuk tiada tindakan lanjut (NFA).
“Sebaliknya kes masih dalam siasatan dan polis mengalu-alukan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak di media sosial mendakwa terdapat cubaan menutup kes siasatan membabitkan Ebit Lew.
Ogos lalu, Abd. Jalil mengesahkan Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman.
Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ebit menyifatkan dakwaan yang menyebabkan dirinya dipanggil polis fitnah kejam dan melampau.
Pada 1 Oktober lalu, Ebit dilaporkan sekali lagi dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung kes gangguan seksual didakwa melibatkan dirinya itu.
Ebit hadir bersama isteri untuk disoal siasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.