Dua dipercayai lemas ketika melarikan diri daripada polis

0
268

DUA lelaki terjun ke dalam sungai, namun hilang dan dipercayai lemas selepas dikatakan cuba melarikan diri ketika operasi polis di sebuah pasar di Kepala Batas, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Beberapa individu dikatakan bertindak melarikan diri selepas melihat kehadiran polis di Kompleks Pasar Bisik Ikan, Kuala Muda, di Penaga.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.32 pagi berhubung kejadian.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dengan bantuan unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR).

Apabila Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian, dilaporkan dua mangsa dikhuatiri telah lemas dalam sungai, ketika berenang untuk melarikan diri semasa operasi yang dijalankan polis.

“Identiti kedua-dua mangsa lelaki itu masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi SAR kini sedang dijalankan dengan menggunakan kaedah ‘surface searching’ dan pusat kawalan bomba (PKB) turut dibuka di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad mengesahkan kejadian itu.

Dalam satu kenyataan ringkas, Mohd Radzi memaklumkan sewaktu kejadian, anggotanya sedang melakukan rondaan Op Cegah Jenayah dan pematuhan SOP di lokasi tersebut.

“Beberapa lelaki yang berkumpul di kawasan pasar didapati melarikan diri apabila melihat kehadiran polis sehingga ada yang terjun ke laut,” katanya.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here