Tunku pun dapat rumah papan saja, kata Dr M pada Najib

Pindaan Akta Saraan Ahli Parlimen 1989 pada 2003 bukan bertujuan untuk memberi kemewahan atau kekayaan kepada bekas Perdana Menteri.

0
529

TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata, pindaan Akta Saraan Ahli Parlimen 1989 pada 2003 bukan bertujuan untuk memberi kemewahan atau kekayaan kepada bekas Perdana Menteri.

Sebaliknya tegas Ahli Parlimen Langkawi itu, pindaan berkenaan bertujuan untuk Kerajaan menimbang memberi sedikit ganjaran kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa mereka.

Katanya, biasanya ganjaran yang diberi ialah rumah Kerajaan yang sedia ada.

“Kita boleh hargai jasa seseorang Perdana Menteri tetapi tidaklah sampai menjadinya millionaire,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Najib Tun Razak (Gambar File)

Kenyataan itu sebagai menjawab tuduhan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa ganjaran kepada bekas Perdana Menteri telah dipinda semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir.

Najib sebelum itu dikritik kerana membuat permohonan mendapatkan tanah dan rumah yang didakwa bernilai RM100 juta menerusi peruntukan di bawah Akta Akta Saraan Ahli Parlimen.

Bagaimanapun Najib menarik balik permohonan berkenaan sehari sebelum Pilihan Raya Negari Melaka selepas teruk dikritik pelbagai pihak termasuk pembangkang yang mengancam untuk mengkaji semula memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan.

Dr. Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri tidak perlu kepada banyak ganjaran selepas bersara kerana pencen, gratuiti dan elaun yang diperolehi lebih daripada mencukupi untuk membina rumah sendiri yang selesa.

Mengambil contoh bekas Perdana Menteri pertama, kata Dr. Mahathir, Tunku Abd Rahman yang memerdekakan Malaysia hanya menerima sebuah rumah papan.

“Rumah Tun Razak dijadi monumen. Tun Hussein pun tidak dapat apa-apa yang bernilai tinggi. Tun Rahah dapat rumah Kerajaan yang sedia ada.

“Saya jadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak tuntut dan tidak dapat apa-apa selain dari pencen dan RM10,000 sebulan untuk selenggara rumah yang didiri oleh saya sendiri.

“Sebidang tanah di Putrajaya telah ditawar kepada saya secara percuma apabila saya bersara tetapi saya telah tolak dan sebaliknya saya beli tanah di Putrajaya dengan harga seperti yang ditawar kepada penjawat awam apabila bersara,” ujarnya lagi.

Menyifatkan tuntutan Najib itu sebagai keterlaluan, Dr. Mahathir terus membangkitkan kesalahan rasuah Najib melibatkan dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

“Bagi seorang perdana menteri yang merosakan negara sehingga dihukum penjara, perlukah kita beri hadiah sampai RM100 juta, sedangkan yang merdekakan negara diberi hanya sebuah rumah dinding papan berbumbung genting sahaja?” soalnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here