Tun Abdul Hamid ingatkan UMNO tolak slogan ‘Hidup Bossku’, Zahid perlu berundur atau disingkirkan

Menurut Tun Abdul Hamid, orang Melayu sudah memberikan peluang kedua kepada UMNO untuk melakukan perubahan.

0
592

BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mengingatkan ahli UMNO untuk menolak pemimpin terpalit skandal selepas parti itu menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Abdul Hamid yang bersara sebagai Ketua Hakim Negara pada 2008 selepas 50 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman, mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan penyokongnya yang memekik slogan “Hidup Bossku” bagi meraikan kemenangan pada Sabtu lalu.

Slogan tersebut sinonim dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sebahagian penjenamaan semula imejnya selepas tumbang dari tampuk pentadbiran kerajaan pada 2018 dan dikenakan pelbagai pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

“Ia memakan diri sendiri (counter-productive). Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi,” kata Tun Hamid dalam satu tulisan bertajuk “Keputusan PRN Melaka: Pengajaran Kepada Parti-parti Melayu Dalam PRU-15?”.

Barisan Nasional (BN) mendominasi kemenangan PRN Melaka dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi yang ditandinginya.

Abdul Hamid mengingatkan liabiliti kepimpinan UMNO yang terpalit skandal, termasuk kepimpinan seperti Zahid, yang turut berdepan pelbagai pertuduhan rasuah perlu disingkirkan.

Abdul Hamid turut berkata, pimpinan UMNO perlu melakukan perubahan untuk menarik semula pengundi yang menjauhi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PR-14) pada 2018 dan salah satu caranya ialah dengan Zahid perlu berundur demi mencapai matlamat tersebut.

“Orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah. Untuk berubah, Zahid perlu berundur atau disingkirkan daripada menjadi Presiden UMNO. Demikian juga pemimpin UMNO yang menjadi liabiliti kepada UMNO,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, orang Melayu sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat “sejarah hitam UMNO” yang dikalahkan dalam PRU-14 yang lalu untuk melihat parti itu dibersihkan daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Pengajaran paling penting kepada UMNO ialah ia mesti sedar orang Melayu memberinya peluang sekali lagi.

“Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh dan mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser dari dalam,” ujarnya.

Abdul Hamid menambah pengundi Melayu menunjukkan bahawa mereka serik dengan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini dan mereka muak dengan politiking yang melampau dan tidak menerima perbuatan lompat melompat parti demi kepentingan diri.

“Orang Melayu sudah bosan dengan karenah Anwar Ibrahim.

“Eloklah beliau melupakan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri dan bersara daripada politik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here