[VIDEO] Populariti Muhyiddin buatkan BN hilang ‘deposit tetap’ di Sungai Udang – penganalisis

0
39

DI SEBALIK kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Melaka, kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang merupakan kubu kuat Umno sejak merdeka menjadi indikator sokongan penjawat awam kepada blok itu.

Beberapa penganalisis politik tanah air berpendapat, kekalahan calon Umno yang juga Timbalan Pengerusi BN Melaka, Datuk Mohamad Ali Mohamad di kerusi itu kepada calon PN, Dr Mohd Aleef Yusof antara keputusan yang mengejutkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu.

Kem Terendak dan Kem Sungai Udang yang terletak dalam DUN itu bermakna undi tentera dan keluarga mereka adalah besar dan signifikan.

Undi tentera membentuk separuh daripada pengundi Sungai Udang.

Poster kempen ketika PRN Melaka (gambar- MalaysiaNow)

Ilham Centre, yang memantau kempen PRN Melaka berkata, kemenangan calon PN di kerusi itu menjadi indikator penjawat awam berasa berterima kasih kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membantu mereka ketika negara dilanda Covid-19.

“Calon BN ketinggalan pada pusingan pertama selepas kiraan undi awal,” kata pengarahnya eksekutifnya, Mohamad Hisommudin Bakar, memetik laporan MalaysiaNow.

“Berlaku pertambahan undi awam yang membolehkan calon PN menang. Ia mengejutkan ramai pihak dan membuktikan calon PN mampu berikan kejutan. Ini satu keputusan yang baik untuk PN.”

Aleef yang mendapat 6,789 undi menewaskan Ali dan calon Pakatan Harapan (PH) Hasmorny Tamby yang masing-masing memperoleh 6,259 dan 2,035 undi.

Calon bebas Mohd Zahar Hashim hanya mendapat 471 undi.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Melaka 20 November lepas, sekaligus membentuk kerajaan negeri dengan dua pertiga majoriti, manakala PH kehilangan tujuh kerusi yang disandang parti itu sebelum pembubaran DUN.

PN menerusi Bersatu mendapat kemenangan di dua kerusi DUN. Selain Sungai Udang, PN turut memenangi kerusi DUN Bemban.

Menurut Hisommudin, populariti Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN dan bekas perdana menteri banyak menyumbang kepada undi tentera kepada calon mereka.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri pada Mac 2020 ketika negara dilanda gelombang pertama Covid-19.

Pelbagai bantuan dan program dijayakan oleh pentadbiran beliau sepanjang tempoh menjadi pentadbirannya.

Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun meletakkan jawatan pada Ogos setelah 15 ahli Parlimen Umno diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Najib Razak menarik sokongan kepadanya.

Undi tentera dan polis sinonim sebagai “fixed deposit” kerajaan BN.

Namun ketika PRU14, hayunan undi tentera di beberapa kerusi menyaksikan kekalahan wakil rakyat blok BN antaranya di Setiawangsa dan Lumut.

Dapatan itu turut dipersetujui oleh penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Mazlan Ali.

“Tentera banyak dapat manfaat (semasa pentadbiran Muhyiddin). Mereka juga mungkin melihat pencetus polemik politik disebabkan Umno, maka mereka mengundi PN yang dilihat ikhlas dalam khidmat politik mereka,” katanya yang merujuk kepada penarikan sokongan oleh empat Adun sehingga DUN negeri itu terbubar pada bulan lalu.

Empat Adun itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Menurut Hisommudin, Idris yang merupakan bekas Adun Sungai Undang dan juga bekas ketua menteri memainkan peranan dalam kekalahan BN di kerusi itu.

“Penyokong Idris Haron masih berbekas di sana tidak boleh dinafikan. Dengan gangguan dalaman sebegini sangat tidak membantu undi BN,” katanya.

Faktor calon turut memainkan peranan apabila PN menampilkan calon yang lebih muda dan berkhidmat di kawasan itu, berbanding BN yang menampilkan muka lama.

“Dalam konteks pengundi atas pagar dan pengundi pertama kali, calon PN lebih berketerampilan untuk memenangi hati pengundi dalam segmen ini,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here