Kanak-kanak perempuan 2 tahun perlu RM90,000 untuk jalani pembedahan jantung keempat

0
302

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari Penaga, Pulau Pinang memerlukan dana sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan jantung kali keempat secepat mungkin.

Nur Afia Mikayla Abdul Khaliq menghadapi masalah kecacatan jantung konginental seperti kedudukan jantung yang berada di posisi yang salah atau ‘mesorcadia’ serta saluran darah yang nipis dan bertukar tempat.

Dia telah menjalani pembedahan jantung sebanyak tiga kali dengan dua daripadanya ketika berusia dua bulan manakala satu lagi ketika usianya baru mencapai satu tahun.

Nur Afia Mikayla kini perlu melalui pembedahan keempat iaitu pembedahan jantung pelengkap secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah ‘pulmonary atresia with ventricular septal defect’ (PA-VSD).

Nur Afia Mikayla

Ini kerana kanak-kanak tersebut mempunyai tanda ‘cyanosis’ atau perubahan warna tisu pada anggota badan kepada warna lebih gelap di bahagian jari dan bibir.

Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, ibu bapa kanak-kanak itu, Aizatul Melissa Abdullah, 23, dan Muhammad Hanif Mohtar, 24, menghubungi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare bagi membantu menguruskan kutipan dana serta rawatan dengan pihak hospital.

“Bapa Nur Afia Mikayla hanya bekerja sebagai penghantar kurier dengan gaji RM1,250 manakala ibunya suri rumah sepenuh masa dan kami memutuskan menjalankan kutipan amal bagi membantu menguruskan kos pembedahan Nur Afia Mikayla,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shi Hau, orang ramai yang ingin membantu kanak-kanak tersebut boleh melayari laman sesawang www.onehopecharity.org dan menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Public Bank Berhad pertubuhan kebajikan itu di nombor 3201428817.

Katanya, orang ramai juga boleh  menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212 untuk maklumat lanjut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here