Final Piala Malaysia: 20,000 tiket dijual Sabtu ini

0
558

SEBANYAK 20,000 tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil akan dijual secara dalam talian di laman sesawang www.tickethotline.com bermula tengah hari, Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata tiket tempat duduk terbuka itu dijual mengikut kapasiti penonton yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, MFL turut mengekalkan harga tiket perlawanan seperti final edisi 2019 yang dijual mengikut empat tingkat bermula pada harga RM50 dan RM70 bagi tempat duduk umum, RM80 untuk tempat duduk umum premium dan RM150 bagi grandstand premium.

“Meskipun MFL terpaksa menanggung peningkatan kos penganjuran tahun ini dan tiket hanya diperuntukkan sebanyak 20,000 tempat duduk, MFL masih mengekalkan harga tiket walaupun dengan jualan kuantiti tiket agak terhad.

“Buat masa ini, sejumlah 20,000 tiket tempat duduk terbuka akan dijual mengikut kapasiti penonton yang dibenarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi MFL telah mengemukakan permohonan kepada MKN agar jumlah itu dapat ditambah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Stuart berkata MFL jugak memohon agar penonton dibenarkan untuk makan dan minum di dalam stadium ketika perlawanan.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 berlangsung pada 30 November ini. Empat pasukan sedang mengintai peluang untuk ke final terdiri daripada juara 2019 Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Melaka United FC.

Kedua-dua aksi separuh akhir pertama antara Terengganu menentang JDT serta KL City dan Melaka United berlangsung malam tadi berakhir dengan masing-masing mencatatkan keputusan seri 1-1.

Keputusan itu menyaksikan empat pasukan terlibat mempunyai peluang sama rata untuk layak ke perlawanan akhir dengan aksi separuh akhir kedua berlangsung Jumaat ini. Piala Malaysia edisi 2020 dibatalkan susulan pandemik COVID-19.– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here