PENDUDUK di sekitar Bukit Belacan, Selangor mengalami keadaan yang teruk selepas dilanda banjir kilat malam tadi, menyebabkan 258 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Tinjauan SatuBerita di sekitar kawasan terjejas mendapati penduduk Bukit Belacan masih bertungkus lumus mengangkut serta membersihkan harta benda mereka termasuk perabot, peralatan elektrik serta kenderaan yang ditenggalami air.
Amirul Mustaqim Azmi, 25, berkata, paras air mula meningkat sekitar jam 7 petang setelah mengalami hujan lebat yang bermula dua jam sebelum itu dan memaklumkan dia bersama ahli keluarga mengalami kerugian teruk.
“Kami mula keluarkan barangan sekitar jam 12.30 tengah malam, ketika air sudah mulai surut, kami selesai sekitar jam 1 pagi. Alhamdulillah, pagi tadi bomba sukarela datang untuk sembur air dan bantu kami untuk bersihkan lumpur.

“Kejadian malam tadi memang memberi kerugian kepada kami terutamanya ibu mertua saya yang menjalankan perniagaan roti. Kalau dapat dilihat barang-barang untuk dia berniaga seperti oven, peti sejuk dan sebagainya, kebanyakkannya rosak,” katanya kepada SatuBerita.
Seorang lagi mangsa banjir, Muhd Shafie Abd Rahman, 22, ketika ditemui berkata, paras air meningkat dalam kadar yang pantas sehingga menyebabkan penduduk sekitar tidak sempat menyelamatkan harta dan dokumen penting.
“Semalam air naik dengan cepat, tak sampai 10 minit pun air dah naik ke paras lutut. Saya yang bekerja di Hulu Langat terus bergegas pulang pun kena tunggu dulu sampai pukul 9 malam baru boleh masuk. Namun syukurlah tiada kemalangan jiwa berlaku.
“Barang-barang semua rosak, dah tak boleh buat apa dah sebab semuanya terkena lumpur. Selepas air surut, kami mula keluarkan barang sekitar pukul 10 sehingga pukul 2 pagi,” ujarnya.
Manakala sebuah bengkel perkakas elektronik terpaksa menanggung kerugian yang besar apabila kesemua barangan elektronik pelanggan ditenggalami air lumpur dalam kejadian malam tadi.
Pembantu bengkel, Khairul Azfar Masahadi berkata, kesemua perkakas elektrik seperti televisyen, radio, dan mesin basuh di bengkel mengalami kerosakan teruk.
“Kami mula buat kerja pembersihan sekitar jam 7 pagi lagi, tapi masih lagi banyak yang perlu dilakukan. Nak cakap kerja pembersihan ini pun tidak sampai dua peratus pun lagi sebab banyak lagi yang perlu diangkut.
“Perkakas elektrik terutamanya televisyen kepunyaan pelanggan memang rosak teruk. Memang banyaklah kerugian. Ada yang pecah, dan yang masuk lumpur apa semua,” ujarnya.
Penduduk sekitar turut menyifatkan kejadian banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan di Bukit Belacan terburuk sejak kali terakhir bencana sama berlaku pada tahun 2012.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.