Polis tahan dua lelaki, rampas rokok bernilai RM3.3 juta

0
393

POLIS menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok tanpa cukai bernilai RM3.3 juta di 55.2 kilometer Lebuhraya Karak di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil maklumat awam,  Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman telah membuat pemantauan dan menahan sebuah lori muatan lima tan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun pada 4.20 pagi.

Beliau berkata, sejurus lori itu ditahan telah datang sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu lelaki berusia 30 tahun memperkenalkan diri sebagai rakan pemandu lori itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 333 kotak besar mengandungi rokok disyaki tanpa cukai kastam antaranya jenis Touro International, Wismilak Diplomat dan Luffman Premium Blend 22.

“Justeru, polis telah menahan kedua-dua lelaki rakyat tempatan dan hasil siasatan awal mendapati pemandu lori tersebut mengambil upah sebanyak RM1,500 untuk menghantar rokok seludup itu ke Kuala Lumpur.

“Suspek mendakwa telah mengambil lori di Kemaman, Terengganu yang ditinggalkan di deretan kedai dengan kunci diletakkan di bahagian tayar sebelum memandu ke Kuala Lumpur…usaha mengesan pemilik lori giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek kali pertama terlibat dalam kegiatan berkenaan dan hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah serta tiada rekod jenayah lampau.

Katanya, kedua-dua lelaki itu direman empat hari bermula 20 Nov mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967. – Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here