Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PN tak akan bubar untuk kembali bersama UMNO -

PN tak akan bubar untuk kembali bersama UMNO

PERIKATAN Nasional (PN)  tidak akan meninggalkan prinsip penubuhannya dan tidak akan dibubarkan untuk kembali bersama UMNO.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN sudah berhijrah jauh dan yakin dengan prinsip dan asas pembentukannya untuk menawarkan suatu bentuk parti yang mendukung kerajaan dengan lebih baik.    

“Minta maaf. Kami berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti, menentang rasuah dan salah guna kuasa.

Itu menjadi dasar perjuangan kita. Sebab itu bagi saya, telah berada di sini, kita akan terus beristiqamah, bergabung bersama dan bekerja lebih kuat supaya kita akan jadi pencabar utama kepada Barisan Nasional,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di sini malam ini. 

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ada pihak meminta beliau membubarkan Bersatu dan kembali bersama UMNO.

Katanya, keberadaan PN dalam arena politik negara yang menawarkan perubahan ke arah lebih baik adalah bagi membolehkan rakyat jelata di negara ini mempunyai satu lagi pilihan untuk dipertimbangkan. 

“Itu bagi saya penting, bukan soal peribadi saya atau soal apa kerana kita berpendapat, pembentukan Bersatu dan Gabungan PN suatu perkembangan politik sihat dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya. 

Mengulas keputusan PRN Melaka, Muhyiddin menerima kekalahan gabungan itu dengan hati terbuka.

Beliau berharap BN akan menterjemah kemenangan mereka dengan menunaikan janji kepada rakyat sebagaimana yang terdapat dalam manifestonya. 

“Tahniah kepada BN kerana berjaya membentuk kerajaan di Melaka. Rakyat Melaka telah memilih calon dan keputusannya telah diketahui.

“Di peringkat PN, kita bersyukur kerana berjaya mempertahan jumlah kerusi yang kita menang dulu dan bagi yang lain, kita juga bersyukur kerana sebahagian besar calon kita mendapat jumlah undi yang menggalakkan,” katanya.

Muhyiddin juga berkata satu kajian mendalam akan dilakukan berkaitan keputusan PRN Melaka. 

“Kita akan lihat sama ada ia ada kaitan dengan jumlah pengundi yang keluar, jentera PN atau ada masalah lain. 

“Ini akan memberi panduan untuk langkah seterusnya terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya. 

PN berjaya meraih kerusi di Sungai Udang apabila calonnya Mohd Aleef Yusof, yang meraih 6,789 undi, menewaskan Datuk Mohamad Ali Mohamad (BN), Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan) dan Mohd Zahar Hashim (Bebas) dalam persaingan empat penjuru. 

Kerusi kedua PN dimenangi di Dewan Undangan Negeri Bemban melalui Mohd Yadzil Yaakub yang meraih 4,211 undi menewaskan Koh Chin Han (BN), Tey Kok Kiew (Pakatan Harapan), Ng Choon Koon (Bebas) dan Azmi Kamis (Bebas) dalam pertandingan lima penjuru.

Bagaimanapun, calon Ketua Menteri PN Datuk Mas Ermieyati Samsudin tewas kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Datuk Ab Rauf Yusoh (BN) di kerusi Tanjung Bidara dalam persaingan tiga penjuru apabila hanya meraih 3,195 undi.

Pesaing lain di kerusi itu ialah Zainal Hassan yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan. – BERNAMA