Ibu terima ijazah UM untuk Allahyarham Haziq

0
34

“SAYA beri penghormatan kepada ibu mentua naik ke pentas kerana ia impian arwah untuk hadiahkan skrol itu kepada ibunya,” kata Shahira Abdul Halim.

Shahira, 29, adalah isteri atlet memanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia 14 Mei lalu selepas dilaporkan rebah di rumahnya sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang.

Terharu melihat ibu mentua, Rulifah Salihin, 57, melangkah naik ke pentas mengambil skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Pengurusan Sukan) sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-60 di sini, hari ini, Shahira berkata, Haziq pernah meluahkan impian untuk membawa ibu bapanya ke konvokesyen apabila tamat pengajian.

Hari ini, Allahyarham antara 518 graduan yang menerima ijazah sarjana dan sarjana muda pada istiadat konvokesyen sidang ketiga. 

“Ini hari ditunggu-tunggu arwah selama ini dan saya berikan kejayaan terakhir arwah ini kepada ibunya. Arwah memulakan pengajian pada 2013, ambil masa lapan tahun untuk menghabiskannya kerana perlu membahagikan masa antara sukan memanah, latihan dan kelas. 

“Arwah tidak pernah putus asa sebaliknya berusaha keras untuk berjaya. Biasanya dia merujuk dengan jurulatih mengenai jadual pengajian supaya tidak bertindih kerana ada masa arwah ke luar negara untuk sertai kejohanan. Apabila di luar negara saya akan bantu sediakan bahan pengajian dia,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Ditanya kenangan tidak dapat dilupakan sepanjang bersama Haziq, Shahira berkata, senyuman arwah kekal diingati kerana suaminya itu sentiasa tersenyum meskipun penat.

Antara pencapaian Haziq yang pernah beraksi di pentas Olimpik London 2012 dan Rio 2016, termasuk pingat emas di Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina, selain empat emas dan dua perak dalam acara individu dan berpasukan di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

Dua lagi atlet kebangsaan turut menerima ijazah sarjana muda dalam jurusan sama, iaitu jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, 26, dan penerjun negara, Wendy Ng, 28.

Mereka mengakui gembira dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang walaupun melalui pelbagai cabaran selain jadual padat bagi latihan dan kejohanan yang tidak pernah mematahkan semangat sebaliknya berusaha membahagikan masa dengan baik.

Kedua-duanya turut mengucapkan terima kasih kepada pensyarah dan rakan yang banyak membantu sepanjang tempoh pengajian. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here