Vida menangis Cik B positif Covid-19

Anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida disahkan positif Covid-19 setelah menjalani ujian calitan pada Jumaat.

Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen, 16 tahun mengesahkan perkara berkenaan melalui Instagram dan mendedahkan yang keadaan dirinya tidak serius.

“Saya terkena jangkitan COVID-19. Tetapi tidak mengapa, tiada apa yang serius. Cuma saya tidak boleh bau tapi deria rasa masih okay.

“Boleh tengok mata saya merah dan bibir kering, tiada yang serius. Tidak boleh bau makanan sahaja,” dedah Cik B.

Buat masa ini dia sedang menjalani kuarantin di dalam bilik dan tidak bercampur dengan ahli keluarga yang lain bagi mengelakkan masalah besar pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Cik B menasihatkan pengikut agar menjaga keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak jangkitan.

“Jaga diri semua di luar sana. Jaga SOP dan jangan bersesak-sesak. Saya sayang anda semua,” katanya.

Terdahulu, penyanyi lagu Tolonglah itu memuat naik hantaran video memaparkan ibunya sedang melakukan ujian calitan.

Bagaimanapun, Vida memaklumkan keputusan ujian calitan dilakukannya adalah negatif manakala Cik B sebaliknya.

“Saya panggil doktor datang ke rumah untuk periksa dan pantau Cik B sehari sekali. Saya tak mahu panik tetapi saya buat panggilan video kepada Cik B untuk memastikan dia baik.

“Anda semua kena doakan Cik B supaya dia kuat,” kata Vida.–SB