Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pengundi positif COVID-19 dikesan mengundi di Alor Gajah -

Pengundi positif COVID-19 dikesan mengundi di Alor Gajah

SEORANG individu yang mengundi di Alor Gajah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini dikesan positif COVID-19.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, hari ini, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah telah menerima notifikasi daripada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Melekek bahawa terdapat seorang kes positif COVID-19 yang keluar mengundi di salah sebuah pusat mengundi di Alor Gajah.

“Keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah beliau selesai proses mengundi.

“Pesakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala sewaktu mengundi,” katanya.

Dr Rusdi menambah, sehubungan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah telah mengambil tindakan segera iaitu mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi terlibat untuk menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi bagi proses disinfeksi menyeluruh.

Beliau memberitahu, disinfeksi telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“SPR telah mengambil langkah segera membuka bilik baharu sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baharu.

“Pasukan pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan disinfeksi dijalankan secara teratur,” jelasnya.

Dr Rusdi berkata, pihaknya memandang serius perkara yang berlaku dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci.

“Semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah,” ujarnya.

Beliau juga memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

“Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Persediaan dan Tindakan (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel cprcmelaka@moh.gov.my,” katanya. – SB