Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Trend peningkatan jenayah siber di Pulau Pinang membimbangkan -

Trend peningkatan jenayah siber di Pulau Pinang membimbangkan

KES penipuan jenayah siber di Pulau Pinang menunjukkan trend peningkatan membimbangkan iaitu sebanyak 28.2 peratus setakat Oktober tahun ini berbanding sepanjang tahun lalu.

Kes-kes jenayah siber melibatkan penipuan seperti pinjaman tidak wujud, pelaburan dan ah long itu direkodkan sebanyak 2,494 kes dalam tempoh hanya 10 bulan tahun ini iaitu sejak Januari hingga Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Asmadi Yusoff berkata, ia melibatkan kerugian yang mencecah hampir RM79 juta kepada mangsa-mangsa terlibat.

“Secara keseluruhannya, kes jenayah siber ini merangkumi sebanyak 14.36 peratus daripada kerugian kes yang disiasat di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, siasatan ke atas kes jenayah siber yang melibatkan penipuan pembelian pembelian PlayStation 5 (PS5) membabitkan kira-kira 200 pembeli mendapati suspek yang ditahan di Pulau Pinang baru-baru ini bergerak bersendirian menjalankan perniagaan itu secara ‘online’.

“Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini turut menjual alat permainan PS4 dan PS3, namun tiada sebarang masalah membabitkan penjualan konsol terbabit ketika itu.

“Malah, suspek turut memiliki syarikat yang didaftarkan atas namanya bagi menambah keyakinan pelanggan,” katanya.

Tambah Mohd. Asmadi, suspek juga dipercayai menggunakan akaun ibunya yang turut menjalankan perniagaan ‘online’ untuk memperoleh wang daripada para pembeli pratempahan PS5 itu.

Jelasnya, suspek turut mendakwa memperoleh konsol PS5 itu daripada pembekal lain dan polis masih menyiasat kes itu dengan lanjut.

“Setakat ini terdapat lapan kes membabitkan penipuan PS5 ini dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan kerugian RM28,000,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan hampir 200 pembeli pratempahan konsol permainan PS5 kerugian kira-kira RM500,000 selepas diperdaya individu yang membina reputasi sebagai ‘penjual dipercayai’ atau ‘trusted seller’ sebelum melarikan diri bersama wang berkenaan. – SB