[VIDEO] PRN Melaka satu peluang dan hikmah untuk rakyatnya

SECARA keseluruhannya harapan dan impian rakyat negeri Melaka adalah untuk mendapatkan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan berintegriti.

Menurut Presiden Pakatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam tempoh beliau mengadakan lawatan ke Melaka itulah harapan yang dinyatakan oleh rakyat negeri itu kepadanya.

Justeru, kata beliau, walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung esok (20 November) tidak di senangi, ia merupakan satu peluang dan hikmah untuk rakyat negeri itu memilih dan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti dan stabil.

“Jadi saya nasihatkan kepada rakyat negeri Melaka untuk berfikir dengan baik, memilih dan memberikan kemenangan besar kepada PN.

“Gunakan kuasa undi anda untuk memberikan majaroti besar kepada PN agar impian anda untuk mencapai kerajaan yang stabil dan berintegriti itu tercapai,” kata beliau ketika berucap dalam program Malam Melaka Bangkit Gemilang yang disiarkan secara langsung melalui media-media sosial PM pada malam Jumaat.

Muhyiddin menjelaskan, apa yang berlaku di Melaka adalah diakibatkan oleh kerajaan yang tidak stabil sehingga menyebabkan berlakunya pilihan raya dalam keadaan negara masih lagi berperang dengan pandemic COVID-19.

Jelas beliau, dengan memberikan kemenangan besar kepada PN, rakyat Melaka akan dapat mengelakkan berlakunya keadaan tidak stabil seperti sekarang ini dan menjejaskan impian mereka untuk mendapatkan kehidupan yang baik serta masa depan yang lebih cerah.

Program Malam Melaka Bangkit Gemilang yang diadakan itu turut dihadiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Dominic Lau. – SB