[VIDEO] PN kaji balik isu pasir jika menang PRN Melaka

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengkaji semula kontrak-kontrak berkaitan khazanah alam Melaka seperti tanah dan pasir yang kini menjadi isu besar di negeri itu jika dipilih rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tegas termasuk menarik balik kontrak akan dilakukan bagi memastikan rakyat Melaka mendapat semula hak mereka di masa akan datang.

“Jika di pilih, antara tugas utama Ketua Menteri Wanita yang kita pilih ini, insya-Allah dia menang nanti, ialah melihat semula kenapa khazanah Melaka yang penting seperti itu, tanah, pasir, jadi sebegitu rupa, disalahgunakan sehingga ia menjadi satu skandal besar.

“Kita akan lihat balik. Kalau konsesi itu diberi kepada pihak tidak bertanggungjawab, bayarannya mungkin tidak dibayar sepenuhnya, maka ambil tindakan untuk ditamatkan konsesi itu supaya rakyat Melaka dapat balik semua hak mereka, di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Malam Melaka Bangkit Gemilang di Shah Alam, malam ini.

Hadir sama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden GERAKAN, Dominic Lau.

Muhyiddin berkata, dakwaan berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tanah juga akan diberikan perhatian oleh PN untuk diselesaikan.

“Ada dalam berita soal pemberian tanah pada satu pihak lain dan dibalas oleh seorang pemimpin tertentu yang bukan dalam kerajaan kita ini, dalam bentuk balasan pemberian yang lain, ini satu perbuatan rasuah.

“Maka tentulah antara perkara utama yang mesti diuruskan oleh kerajaan terbentuk ialah mencari jalan bagaimana nak selesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau menambah, rakyat Melaka perlu memilih calon PN kerana calon gabungan parti itu sahaja yang telah melafaz ikrar menentang rasuah.

“Kenapa mereka (BN dan PH) tak buat (aku janji tentang rasuah). Mungkin bagi mereka agak janggal, tak selesa tetapi PN tak janggal kerana itu prinsip perjuangan kita. Kita tak langgar undang-undang, kita tentang rasuah dan salah guna kuasa.

“Tetapi parti lain tak buat. Jadi rakyat Melaka timbanglah, kenapa kita boleh buat, mereka tak boleh buat? Timbanglah. Ini penting sebab dalam negara kita rasuah dah jadi barah, bukan kecil tetapi besar. Sebahagian libat pemimpin parti politik bukan dari PN” ujarnya.

Muhyiddin berkata, PN adalah penyelamat kerana menjanjikan perubahan termasuk pemimpin berintegriti kepada negeri Melaka.

Sehubungan itu beliau berharap, rakyat Melaka keluar beramai-ramai mengundi calon PN pada hari pembuangan undi esok.

“Walau apapun situasi, kepada pengundi yang sudah ada di Melaka diharap keluar esok dan mengundi PN esok kerana dalam apa jua keadaan, mengundi itu adalah hak. Kalau tidak guna hak satu kerugian besar untuk negeri Melaka.

“Sekali lagi saya merayu supaya memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional,” katanya.