PRESIDEN Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kerajaan sebelum ini lemah dan gagal dalam menyelesaikan masalah berbanding kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya meringankan beban rakyat biarpun mentadbir di kala wabak COVID-19 melanda dunia.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, sebelum ini rakyat Malaysia melakukan kesilapan selepas tidak berpuas hati dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memilih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan sebagai satu gabungan parti yang ekstrem.
“Sebaik sahaja PH menjadi kerajaan, kita mula mendengar kenyataan-kenyataan yang mencabar raja-raja, mencabar agama Islam, mencabar Bumiputera dan pelbagai lagi,” katanya ketika memberikan ucapan di Malam Melaka Bangkit Gemilang, di Glenmarie Shah Alam, pada Jumaat.
Tambahnya, kerajaan PH bukan sahaja gagal dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat, malah kerajaan itu tidak mampu menunaikan janji yang ditabur kepada rakyat di dalam manifesto mereka ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Menurutnya lagi, ketika landskap politik mula goyah semasa pentadbiran PH di peringkat pusat, wakil-wakil rakyat dipanggil untuk berkumpul bagi melakukan satu perubahan secara demokrasi.
“Apabila sudah cukup bilangan, kita jemput Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri, beliau tidak minta, kita yang jemput. Beliau datang bersama-sama dan tertubuhnya PN.
“Mujurlah wabak COVID-19 berlaku ketika PN memimpin negara. Kita dapat tangani masalah kesusahan rakyat dalam tempoh yang pendek sahaja,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hadi menyeru seluruh rakyat Melaka untuk turun mengundi dan memberikan sokongan penuh kepada PN sekali lagi.
“Menangkan PN di Melaka untuk tebus kegagalan, permasalahan serta kelemahan kerajaan lalu. Kita nak sambung perjuangan untuk menyatu padukan rakyat.
“Kita harap rakyat Melaka meneruskan perjuangan perubahan di negara kita dengan memilih PN,” katanya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.