Presiden GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyeru rakyat Melaka untuk memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok, kerana negeri berkenaan memerlukan satu kerajaan yang bersih dan berintegriti, sekali gus kerajaan yang menunaikan manifesto.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, hanya PN yang boleh membangkitkan negeri bersejarah itu menjadi negeri yang gemilang dan menjanjikan pentadbiran yang bebas rasuah.
“Baru-baru ini, Perikatan Nasional dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita mengadakan upacara tandatangan akujanji anti-rasuah buat 28 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) kita, kita lakukan perkara ini kerana rakyat tidak mahukan rasuah.
“Oleh itu, hanya gabungan parti politik yang berani membuat perjanjian seperti demikian, hanyalah Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Malam Melaka Bangkit Gemilang, di Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam, pada Jumaat.
Dominic Lau turut mengulas kes mahkamah yang dihadapi oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan.
Tambah beliau, PN sebagai parti yang berintegriti dan menepati janji akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau pelaksanaan manifesto yang dijanjikan parti berkenaan kepada rakyat Melaka.
“Kita bukan sahaja mengumumkan manifesto, kita juga berjanji, jika mandat diberikan kepada PN, kita akan menubuhkan satu Ahli Jawatankuasa untuk memantau manifesto yang telah kita janjikan kepada rakyat melaka untuk menunaikan janji.
“Manifesto bagi PN akan dilaksanakan, tidak seperti Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Kempen PRN Melaka bagi memilih 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu, memasuki hari terakhir hari ini selepas berlangsung sejak Isnin minggu lalu, dan bakal berakhir pada jam 11.59 malam ini.
Sejumlah 476,037 pengundi berdaftar pada PRN Melaka layak untuk mengundi antara jam 8 pagi hingga 5.30 petang esok, dengan 7,601 individu sudah mengundi secara pos dan 10,390 anggota polis, tentera dan pasangan pula mengundi awal Selasa lalu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.