Calon Ketua Menteri (KM) Melaka Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati meletakkan sasaran untuk memajukan pelbagai sektor ekonomi terutama perindustrian dengan menarik pelaburan tempatan dan asing.
Calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu berkata, ia selari dengan matlamatnya yang tidak mahu melihat orang ramai di Melaka tercicir berada dalam kesusahan.
Lebih penting ujarnya, langkah itu dapat memastikan setiap rakyat di Melaka memiliki makanan terhidang atas meja, khususnya dalam kesempitan hidup yang dihadapi rakyat semasa berdepan cabaran pandemik Covid-19.
Selain itu tambah Mas Ermieyati, beliau juga tidak akan mengetepikan sumbangan belia dalam memajukan ekonomi negeri kerana mereka adalah penggerak utama pembangunan ekonomi terutama dalam sektor industri perkilangan.
“Saya seorang ibu yang dapat melihat bagaimana pandemik menghimpit ekonomi keluarga sedangkan yang paling penting ketika pandemik ialah kita ingin melihat makanan di atas meja.
“Jika saya menjadi Ketua Menteri, saya akan majukan ekonomi dalam pelbagai sektor, termasuk pelancongan,” katanya pada sidang media malam ini di Bilik Gerakan PN Tanjung Bidara di Kampung Padang Kemunting di sini malam tadi.
Beliau berkata, pencalonannya sebagai Ketua Menteri memberikan kelebihan kepadanya untuk berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.
Ditanya mengenai hubungannya dengan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Mas Ermieyati berkata, beliau akan berjumpa dengan pemimpin itu.
“Datuk Rafiq adalah pemimpin yang bertanggunghawab menjadikan PN seperti yang ada pada hari ini dan tanpa beliau, PN tidak akan mencapai tahap yang membanggakan seperti sekarang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, daripada keseluruhan 10,133 pengundi di Tanjung Bidara, 52 peratus terdiri wanita dan berharap mendapat sokongan padu daripada golongan itu sambil tidak mengabaikan 48 peratus pengundi lelaki.
“Saya juga berharap jentera pilihan raya PN supaya melipatgandakan usaha bagi memastikan segala perancangan parti untuk melicinkan proses pengundian Sabtu ini,” katanya.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Mas Ermieyati akan dilantik sebagai pemimpin nombor satu negeri Melaka.
Pengumuman tersebut juga mendekatkan beliau untuk menjadi Ketua Menteri wanita pertama di Malaysia.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.