Melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebenarnya memberi pengalaman baharu buat semua. Tidak terkecuali kepada penyanyi Amir Masdi, 25 tahun yang merasai sendiri pengalaman tersebut.
Ramai yang hilang pekerjaan, hilang mata pencarian dan dibebani beban emosi apabila terkurung sendirian tanpa keluarga dan rakan-rakan di sisi.
Pun begitu, dia menegaskan tidak merelakan perasaan negatif ini menghantui dirinya dan sentiasa berfikiran positif dengan demi kehidupan yang lebih baik.
“Bila kenangkan kembali fasa PKP yang dilalui memang banyak cerita yang saya dengar. Ada kenalan dan peminat yang tinggal seorang diri dan terkesan dengan keadaan itu.
“Kebanyakan mereka memang tinggal berjauhan dengan keluarga. Disebabkan itu mereka sunyi, cepat down dan pelbagai kisah lain. Tapi tak adalah yang sampai mahu bertindak di luar batasan.
“Ada juga yang meluahkan rasa kurang semangat dan beremosi sebab tak cukup duit untuk survive. Semua itu menyebabkan mereka terkesan,” katanya.
Menghadam satu persatu cerita yang didengar, Amir mengambil inspirasi terebut untuk meluahkan apa yang difahami menerusi video muzik (MV) Esok yang dilancarkan hari ini.

Jelasnya, semua yang didengar, dirasai dan difahami diletakkan dalam MV ini sebagai teras utama kepada jalan cerita tersebut.
“Sebelum menulis jalan cerita ini, saya cuba membayangkan bagaimana berada di tempat mereka. Apa yang dirasa, bagaimana kehidupan mereka dan banyak lagi bermain di fikiran.
“Apabila meletakkan diri ke dalam kisah orang lain, saya faham perasan tersebut dan memudahkan kerja untuk menyiapkan MV ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, finalis Anugerah Juara ke-35 itu gembira dengan maklum balas yang diterima daripada peminat dan rakan-rakan artis yang lain.
Ada yang menyifatkan lagu tersebut mempunyai melodi yang unik meskipun sedikit lari daripada genre kegemarannya sebelum ini.
Esok merupakan lagu ciptaan Amir bersama Shazee Ishak, Audi Mok. Lagu ini sudah dilancarkan secara rasmi pada 27 Ogos lalu di semua platform digital.
Video muzik pula boleh ditonton bermula pukul 9 malam ini di YouTube Nova Music.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.