BUKAN diculik keluarga sendiri sebaliknya selamat di bawah jagaan keluarga sendiri kata pelakon Nynaa Harizal selepas menghadiri permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Mohamed Fahmi Ilyas.
Dia membuat permohonan tersebut di Mahkamah Syariah Johor Bahru pada Khamis.
Tanpa mahu mengulas lanjut apa sebenarnya yang terjadi kepada hubungan suami isteri mereka, dia menegaskan mahu menyelesaikan kemelut ini dengan cara paling baik.
“Satu salinan saman juga telah diserahkan kepada pihak suami pada 11 November lalu. Hari ini merupakan sebutan bagi permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru. Suami saya tidak hadir dan diwakili oleh peguam,” katanya.
Pihaknya telah memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah di bawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003 pada 10 November lalu.

Jelas pelakon ini lagi, permohonan tersebut dibuat dengan harapan dan doa agar suaminya akan melepaskannya dengan cara baik tanpa perlu meneruskan dengan proses perundangan lain.
“Sementara proses Mahkamah Syariah ini berjalan dan selagi tidak menjejaskan prosiding, saya membuka ruang untuk perbincangan dengan suami dan perkara ini telah dinyatakan melalui perbualan telefon pada 12 November lalu.
“Oleh kerana isu ini bersifat peribadi dan sedang dalam proses mahkamah, saya membuat keputusan untuk tidak memberikan ulasan lanjut berkaitan punca dan penyebab yang membawa kepada keadaan ini.
“Cukuplah sekadar itu kenyataan daripada saya dan saya mengharapkan doa daripada kalian agar Allah S.W.T akan terus memberikan kekuatan kepada saya. Saya amat menghargai segala pandangan dan nasihat diberikan masyarakat,” katanya.
Terdahulu suaminya membuat tuntutan agar pelakon berkenaan kembali taat dan pulang ke pangkuannya setelah dua minggu dia dibawa keluar oleh keluarganya pada 2 November lalu.
Sebagai rekod, Nynaa, 25 tahun bernikah dengan Fahmi, 29, pada 28 Ogos 2021. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.