Pesawat Hawk TUDM terhempas di Butterworth, seorang maut

SEORANG juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut sementara seorang lagi cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang, malam Selasa.

ALLAHYARHAM AFFENDI

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan berkata, Kapten Mohamad Affendi Bustamy meninggal dunia dalam nahas itu sementara  Mejar Mohd. Fareez Omar yang cedera berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

TUDM berkata, nahas di Pangkalan Udara Butterworth, itu berlaku kira-kira 10.07 malam  pada Selasa ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.

KEADAAN di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinanglokasi sebuah pesawat pejuang jenis Hawk milik TUM terhempas. – Foto MEDIA SOSIAL


Kenyataan Markas Tentera Udara memaklumkan TUDM mengesahkan insiden itu berlaku pada 10.07 malam di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth.

“Pihak TUDM sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden ini,” menurut kenyataan itu.

TUDM turut memohon semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau berita yang tidak sahih. – Bernama