MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan siasatan terperinci susulan insiden membabitkan pesawat Hawk 108 yang berlaku malam Selasa.
Beliau berkata, insiden tersebut dimaklumkan kepadanya oleh Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad menerusi panggilan telefon.
“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian.
“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan cedera…amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera,” kongsi beliau menerusi ciapan Twitter, tengah malam ini.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan telah diarahkan untuk menyalurkan keperluan kepada kedua-dua anggota yang terbabit dalam insiden tersebut. – Bernama
TUDM dalam kenyataan tengah malam ini mengesahkan sebuah pesawat pejuang Hawk miliknya terlibat dalam kemalangan di Pangkalan Udara di Butterworth, Pulau Pinang kira-kira 10.07 malam Selasa. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.