PN umum calon Ketua Menteri Melaka esok – Hamzah

0
396

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan calon Ketua Menteri pakatan itu esok, kata Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata calon Ketua Menteri itu akan dibincangkan bersama parti komponen dalam gabungan itu, bagi memilih individu yang diterima masyarakat secara keseluruhannya serta mampu mendapat sokongan daripada pengundi di atas pagar.

“Jadi kalau pun beliau (Ketua Menteri) datang daripada seorang wanita, pernah satu ketika Melaka membawa sebuah cerita Tun Teja, di mana Tun Teja berperanan membangunkan negeri Melaka, jadi apa salahnya kalau kali ini kita meletakkan seorang wanita.

“Kita juga ada beberapa doktor, profesional, jurutera, ini kita akan bincangkan dan akan kita umumkan insya-Allah pada esok hari,” katanya di sini, hari ini.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 November dilaporkan berkata gabungan itu akan mengumumkan calon Ketua Menteri daripada Bersatu, sebelum hari pengundian pada 20 November ini untuk menerajui kepimpinan Melaka, jika pakatan itu diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setakat ini, Barisan Nasional menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri, manakala Adly Zahari mewakili Pakatan Harapan.

PN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 November ini dengan parti komponennya Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan, dan Gerakan lima.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri.

Sementara itu, Hamzah mengucapkan takziah kepada keluarga bekas ADUN Asahan Datuk Seri Abdul Ghafar Atan, yang meninggal dunia di Hospital Melaka, hari ini.

“Takziah kepada keluarga bekas ADUN Asahan Datuk Seri Abdul Ghafar Atan, baru sahaja saya dapat berita bahawa beliau telah meninggalkan kita.

“Beliau juga merupakan sahabat dalam politik ini. Dalam pejuangan kadang kala sahabat akan terus jadi sahabat, tetapi dalam nak menentukan masa depan, perjuangan lebih mustahak,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Ghafar yang juga bekas Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri itu, mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka selepas disahkan positif COVID-19 sejak minggu lepas. — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here