Abah Muhyiddin santuni anak-anak Melaka

BAK kata pepatah Melayu, ibarat pohon kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan dan rantau jauh diulangi, rantau dekat di kendana begitulah pandangan rakyat kepada Abah, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kesibukan beliau mengimbangi tugas sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan membantu Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bersama Pakatan Nasional (PN) yang bakal berlangsung pada 20 November ini, Abah Muhyiddin tetap juga meluangkan masa untuk menyantuni anak-anak Melaka.

Ahli parlimen Pagoh itu memulakan pagi Selasa beliau dengan bersinggah sarapan di Warung Maznah di Alor Gajah sambil bertanya khabar dan mendengar serba sedikit masalah penduduk di kawasan itu.

Dari situ, Muhyiddin kemudiannya ke Tanjung Bidara dan makan tengah hari di Warung Anak Jeram dan bertemu penduduk di kawasan itu.

“Menu lauk ikan keli dan daging masak lemak cili api di sini memang sedap.

“Seperti selalu, pelanggan yang ditemui berkongsi masalah dan harapan mereka bagi PRN Melaka ini,” kongsi beliau dalam hantaran laman Facebook rasminya.

Beliau kemudian singgah ke Masjid Kg Al-Anshariah Lubok Redan dan Masjid Al-Syuhada Kem Terendak Sg Udang untuk menunaikan solat Zohor dan Asar berjemaah bersama penduduk di kedua-dua kawasan.

Pada sebelah petang pula, Muhyiddin meluangkan masa minum petang di Medan Selera Taman Terendak Permai Sungai Udang.

Di situ Abah mengambil peluang menyantuni dan bertanya khabar pelbagai lapisan masyarakat termasuk anggota beruniform.

“Mereka bercerita banyak perkara dengan saya, terutama hal berkaitan masalah penduduk setempat selain pandangan dan harapan terhadap parti yang bertanding dalam pilihan raya ini.

“Alhamdulillah, hampir kesemua penduduk yang saya temui masih bercerita dan berterima kasih atas segala bantuan yang diberikan kerajaan ketika pandemik Covid-19 mula melanda negara.

Sebelum bergerak pulang ke Kuala lumpur, Muhyiddin singgah menunaikan solat isyak di Masjid Al-Hilal Pantai Rondang, Pantai Kundor sebelum menikmati makan malam di Warung Cekodok yang terletak tidak jauh dari masjid.

Abah Muhyiddin turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada anak-anak Melaka atas layanan mesra dan makanannya yang sedap-sedap belaka.

“Kalau ada lagi tempat makan yang enak-enak di Negeri Bersejarah ini, bolehlah kongsi dengan saya.

“Insya-Allah, saya boleh cuba bila ke sini lagi,” kata beliau di penghujung perkongsiannya. – SB