[VIDEO] Tingkat infrastruktur Gadek, wujud hab peniagaan tani jadi tumpuan Amir Muharam

0
526

MENJANA ekonomi penduduk setempat menerusi pewujudan hab perniagaan berasaskan pertanian dan penternakan antara misi calon Perikatan Nasional (DUN) Gadek, Amir Fitri Muharam jika mendapat mandat pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Selain itu, menambahbaik kemudahan infrastruktur berkait dengan anak muda seperti kemudahan rekreasi dan jalur lebar juga akan menjadi tumpuan Ketua Armada Bersatu Alor Gajah berusia 34 tahun itu.

Menurut Amir Muharam, penubuhan hab perdagangan berasaskan pertanian dan penternakan bukan sahaja penting kerana ia sektor ekonomi utama penduduk setempat, tetapi demi menggalakkan anak muda menceburi bidang berkenaan.

“Kami menekankan mereka untuk menceburi bidang perniagaan, ia akan meningkatkan ekonomi DUN Gadek seterusnya membuka peluang pekerjaan bagi golongan belia yang tinggal di kampung ini,” katanya kepada SatuBerita hari ini.

Beliau menambah, sebagai calon anak muda, keperluan golongan itu akan diberikan perhatian.

Katanya, banyak fasiliti untuk golongan belia seperti padang futsal  tidak diselenggara dengan baik. 

“Kami mohon pihak berwajib untuk selenggara fasiliti ini seperti lampu, pintu masuk rosak, lantai padang futsal perlu diselenggara dengan baik. 

“Selain itu masalah capaian Internet yang lemah juga perlu diberikan perhatian dengan menaiktaraf kemudahan sedia ada.

“Golongan belia sangat memerlukan sistem jalur lebar ini dari segi pendidikan, media sosial. Jadi ia sangat perlu dinaiktaraf, ujarnya.

Menurut Amir Muharam, isu besar yang kerap menghimpit penduduk seperti banjir juga akan diberikan perhatian serius jika dipilih sebagai wakil rakyat.

Katanya, selain menambahbaik infrastruktur asas, tabung khas bagi membantu mangsa banjir Gadek juga akan ditubuhkan.

Dalam soal kepimpinan, Amir Muharam berkata, penerapan nilai-nilai positif dan fokus kepada kerja akan menjadi keutamaannya kerana ia selari dengan kehendak rakyat DUN Gadek.

“Mereka memerlukan pemimpin yang fokus kepada khidmat bakti untuk rakyat dan bukannya asyik mencari salah orang lain. Kalau pihak lain dengan  ada cara-cara yang negatif, kami sendiri akan membawa positive vibes untuk anak muda, kami dengan cara kami,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here