KEMUDAHAN sistem jalur lebar yang berkualiti serta tahap capaian yang tinggi perlu disediakan kepada penduduk di sekitar Ayer Limau, Melaka supaya seiring dengan pembangunan di kawasan lain.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Calon PN DUN Ayer Limau Dr. Nordina
Sebelum ini, seluruh negara bergantung kepada kemudahan itu akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memaksa rakyat bekerja dari rumah, manakala pelajar terpaksa mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Sehubungan itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Ayer Limau, Dr. Nordina Abdul Latif mahu memastikan kemudahan yang ada dipertingkatkan walaupun ketika ini, ramai yang sudah kembali bekerja mengikut norma baharu di era endemik Covid-19.
“Capaian jalur lebar di kawasan ini tidak berapa bagus. Masih banyak yang perlu dinaik taraf. Sebelum ini, ramai yang bermasalah untuk mengadaptasi norma baharu bekerja dari rumah dan mengikuti PdPR.
“Kemudahan ini cukup penting kepada kehidupan dan keperluan masyarakat setempat. Masih ramai yang bekerja dari rumah dan memerlukan capaian jalur lebar yang baik.Ia bukan saja untuk kegunaan harian, tetapi penting untuk sektor ekonomi.
“Jika dipilih mewakili rakyat di kawasan ini, saya akan memberi keutamaan kepada isu ini selain isu kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19,” katanya menerusi wawancara yang disiarkan melalui platform Facebook.
Antara yang menjadi tumpuannya ialah membela nasib peniaga kecil dengan menyediakan peluang untuk lebih maju serta berdaya saing, termasuklah menggunakan plaftorm media sosial sebagai medan pemasaran.
Sementara itu, Ketua Wanita Perikatan Nasional, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang turut membantu kempen di Ayer Limau mengakui, Dr Nordina yang dikenalinya mempunyai pelbagai idea untuk menaik taraf kualiti kehidupan rakyat di situ.
“Dr.Nordina yang saya kenali adalah seorang yang berdedikasi dan amat diyakini untuk diberi amanah dan tanggungjawab ini.
“Saya cukup percaya dan yakin, beliau mampu melaksanakan tugas dengan baik demi penduduk di DUN Ayer Limau,” katanya yang menyeru pengundi di situ supaya tidak melepaskan peluang menyokong Dr Nordina sebagai wakil rakyat mereka. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.