PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan pesanan kepada rakyat Melaka yang akan turun mengundi Pada 20 November ini menerusi satu perkongsian di akaun Facebook rasminya hari ini.
Bekas Perdana Menteri kelapan itu menyeru agar pengundi-pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini memberikan kepercayaan penuh kepada calon-calon PN yang sedang bertungkus-lumus berkempen menerusi media sosial masing-masing bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya berhadapan dengan saudara saudari adalah untuk memohon malahan merayu supaya semua pengundi-pengundi yang ada di negeri Melaka, daripada semua latar belakang bangsa dan agama tidak akan lupa untuk memberikan sokongan yang padu kepada semua calon PN yang telah kita kemukakan.
“Mereka adalah calon-calon yang berkaliber, berkelayakan, yang saya yakin dan percaya adalah calon yang bersih yang dapat dipilih untuk membentuk sebuah kerajaan negeri Melaka,” katanya dalam perkongsian itu.
Sehubungan itu, Muhyiddin optimis calon-calon ini mampu mengemudi negeri Melaka ke satu mercu kecemerlangan dan kegemilangan pada masa yang akan datang.
“Sekali lagi saya merayu, sokonglah, dan undilah calon-calon PN. Terima kasih,” ujarnya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.