MAJLIS Syura Ulamak PAS mengalu-alukan tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan kelulusan lesen premis judi di seluruh negeri jelapang padi berkenaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
Majlis itu dalam satu kenyataan pada hari ini berkata, tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri kedah itu adalah selaras dengan kaedah Fiqh yang menyebut ‘sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan semua tidak ditinggalkan sebahagian besar daripadanya’.
“Ia juga merupakan satu usaha yang sangat baik bagi menghalang kemudaratan harta dan sosial berlaku kepada rakyat.
“Malah, Majlis Syura Ulamak menyeru rakyat dan kerajaan tidak lagi menjadikan judi sebagai sumber pendapatan dan ekonomi bagi mengekang dan memerangi ‘ekonomi gelap’,” katanya.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut mengalu-alukan keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang mengehadkan penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam sahaja khususnya di kawasan PBT yang tiada permintaan ke atas minuman keras.
Baca berita berkaitan: ‘Nak beli nombor ekor, beli di Pulau Pinang’, – MB Kedah
Menurut mereka, perkara itu adalah ekoran fakta yang menunjukkan minuman keras menjadi salah satu punca kemalangan maut akibat memandu dalam keadaan mabuk serta memberikan imlikasi kehilangan nyawa dan kecederaan bukan sahaja kepada mangsa bahkan keluarga selain kepentingan awam.
“Tiada mana-mana agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya berjudi. Islam pula melarang keras umatnya terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan arak dan judi,” ujar mereka.
Mereka menambah, Majlis Syura Ulamak Pas sentiasa mendokong usaha baik mana-mana pihak bagi melahirkan masyarakat yang lebih aman, makmur dan terhindar dari segala musibah yang berpunca daripada arak serta judi.
Terdahulu pada Ahad, Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan negeri itu akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.