Dikhabarkan sudah menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hati, penyanyi sensasi Caprice dipercayai sudah bernikah dengan seorang wanita yang dikenali dengan nama Farra Ilanis hari ini.
Sekeping gambar memperlihatkan penyanyi tersebut menyarungkan cincin di jari manis wanita berkenaan tular meskipun butiran mengenai majlis tersebut tidak diketahui umum.
Hantaran berkenaan turut dikongsikan semula oleh penyanyi yang juga anggota kumpulan DeFam, Azira Shafinaz menerusi Instagram miliknya.
Berdasarkan pemerhayian di media sosial, wanita yang dikahwini Caprice itu khabarnya merupakan ibu tunggal beranak satu.
Cubaan SatuBerita mendapatkan maklum balas daripada penyanyi berkenaan gagal manakala pengurus peribadinya pula tidak memberikan sebarang pengesahan dan meminta media perkara tersebut dijawab sendiri oleh Caprice nanti.
“Saya tidak boleh nak sahkan betul atau tidak. Tapi kalau orang kongsi gambar dia sarung cincin di jari wanita, maksudnya, memang betullah dia dah kahwin,” katanya.
Jelasnya lagi, dia memang ada berkenalan dengan wanita berkenaan sejak beberapa tahun lalu yang juga berasal dari Kelantan.
“Apa yang saya tahu Caprice telah berkenalan dengan wanita itu setahun dua lalu. Saya sendiri tak dimaklumkan tentang pernikahannya. Saya dapat tahu dia berkahwin pun sekitar pukul 5 petang hari ini.
“Dia (isteri Caprice) baik orangnya dan dia berasal dari Kelantan. Apa-apa maklumat lanjut, akan datang dari mulut Caprice sendiri nanti,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.