PERKARA yang menjadi salah satu fokus utama diketengahkan oleh calon Perikatan Nasional (PN) DUN Taboh Naning, Abu Hashim Abdul Samad bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah untuk mengimarahkan masjid di DUN berkenaan dengan kehadiran anak-anak muda.
Menerusi satu perkongsian di akaun Facebook beliau hari ini, masjid merupakan satu tempat untuk menyemai akhlak, sahsiah dan agama dalam diri khususnya kepada anak-anak muda.
Sehubungan itu, pihaknya telah mengadakan beberapa program di masjid sekitar DUN Taboh Naning yang disifatkan berjaya menarik minat anak-anak untuk hadir ke masjid.
Baca berita berkataitan: [VIDEO] Calon PN DUN Taboh Naning Abu Hashim
“Kita telah mengadakan satu program pendidikan yang membantu ibu bapa untuk membentuk akhlak dan juga menggalakkan anak-anak beribadah dengan mengadakan program solat subuh berjemaah.
“Alhamdulillah program ini telah berjalan dengan lancarnya di mana kita telah menghasilkan anak-anak yang tegar untuk hadir ke masjid bagi menunaikan solat subuh berjemaah di masjid,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Beliau yang juga pengerusi Masjid Al Muhsinin, Melekek, menambah, program berkenaan memperlihatkan hasil apabila anak-anak sudah mula bangun pagi lebih awal bagi mengejutkan ibu bapa mereka untuk hadir solat subuh di masjid sepanjang enam bulan ia dilaksanakan.

“Sumbangan turut diberikan kepada anak-anak untuk memberi galakan kepada mereka,” tambahnya.
Pada PRN Melaka 20 November ini Abu Hashim akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Zulkiflee Mohd Zin dan calon Pakatan Harapan (PH), Zairi Suboh.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.