Maaf tiada gimik untuk lagu baharu- Nabila Razali

Lapan tahun melayari onak duri sebagai penyanyi sebenarnya sudah cukup mematangkan Nabila Razali. Pelbagai pengalaman sudah dilalui yang pada akhirnya membuatkan dia mula berani bereksperimentasi.

Bangkit dari zon selesa, penyanyi yang popular dengan lagu Peluang Kedua ini memberanikan diri menghasilkan lagu sendiri yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Ini masa untuk saya mencabar diri dan keluar dari zon selesa. Jika dahulu saya gunakan karya ciptaan orang lain, kini saya hadir pula dengan lagu sendiri bersama komposer dari Singapura, Erwin Purnama.

“Saya anggap single Putus adalah hadiah untuk peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya sejak dahulu,” katanya.

Mengulas mengenai koloberasi dengan Erwin pula, Nabila menganggap dia bertuah kerana lelaki tersebut banyak memberikan tunjuk ajar sepanjang bekerjasama.

Banyak ilmu baharu diperoleh sepanjang proses penerbitan dan produksi berlangsung yang menambahkan lagi semangatnya untuk menerbitkan karya-karya akan datang.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya pula, Nabila ada menegaskan yang kali ini tiada gimik akan dilakukan sempena kehadiran buah tangan terbarunya itu.

“Maaf, tiada gimik untuk lagu baharu kali ini. Yang ada hanyalah karya yang tulis dan jujur,” tulisnya yang bakal melancarkan Putus pada 19 November hadapan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-29 tahun.

“Saya pilih tarikh pelancaran sempena hari jadi saya kerana mahu Putus menjadi kenangan manis buat saya. Ia juga hadiah kepada peminat-peminat yang tak henti-henti memberikan sokongan,” ujarnya.

Putus mengisahkan tentang sebuah percintaan yang suci yang berakhir dengan perpisahan. Tidak ada apa lagi yang mampu dilakukan oleh gadis tersebut selain dari redha dan pasrah di atas ketentuan takdir.

Dia harus meneruskan hidup tanpa ada lagi insan yang tersayang di sisi akibat terlalu menyayangi seseorang sehingga terlupa untuk menyayangi dirinya sendiri.–SB