Adam Shahz selar tindakan tidak bertanggungjawab pihak produksi

Benarkah dakwaan yang mengatakan ada produksi drama meneruskan penggambaran meskipun sebahagian daripada KRU dan pelakon positif Covid-19?

Perkara tersebut didedahkan oleh pelakon Adam Shahz, 40 yang mendakwa perkara tersebut terjadi dan cuba disorokkan oleh pihak tersebut seterusnya memberikan impak buruk kepada industri.

Mengakui mempunyai bukti rakaman suara pihak produksi memberi arahan tersebut, Adam bagaimanapun enggan mendedahkan nama syarikat tersebut.

“Saya tidak sebut mana-mana syarikat tapi apa yang mereka buat memang tak bertanggungjawab. Kita tak nak disebabkan tindakan mereka itu, industri dipandang buruk.

“Saya berani bersuara sebab saya ada bukti. Orang yang saya kenal, bagi saya dengar voice note pihak tersebut yang memberi arahan untuk teruskan penggambaran selain membuat ugutan kepada pelakon dan kru terlibat.

“Kata mereka, jangan ‘berkokok’ kalau nak cepat habis penggambaran kena teruskan saja. Sedangkan sudah hampir separuh daripada bilangan kru termasuk pelakon yang disahkan positif,” katanya.

Tambahnya mereka yang dijangkiti sudah dikuarantin tapi yang tidak berstatus negatif masih meneruskan penggambaran seperti biasa walaupun mereka dikira kontrak rapat.

Terdahulu pelakon ini mendedahkan perkara tersebut melalui media sosial miliknya dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang industri.

Dedahnya, mereka yang terlibat dengan penggambaran tersebut diminta untuk mengunci mulut sedangkan tindakan tersebut memberikan kesan kepada semua pihak.

“Perkara ini melibatkan nyawa orang lain juga. Sepatutnya mereka kena ambil tindakan apabila ada kru atau pelakon yang disahkan positif. Berhenti penggambaran buat sementara waktu demi keselamatan semua orang.

“Saya harap pihak yang berkuasa seperti Finas atau KKM mengambil tindakan terhadap produksi yang tidak bertangungjawab seperti itu. Tak nak disebabkan produksi itu, kami penggiat seni lain turut terkesan,” ujarnya.–SB