Prestasi parti politik antara perkara utama dinilai pengundi di Melaka

Oleh RIZQI ZABIDI

Prestasi parti-parti politik tanah air termasuk semasa sepanjang diberi peluang menjadi kerajaan merupakan antara perkara yang akan dinilai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, selain hal berkaitan calon, perkara itu dilihat bakal turun menjadi penentu kepada undi yang bakal diperolehi.

Justeru katanya, semua parti bertanding tidak perlu lagi untuk menjadikan PRN tersebut sebagai medan untuk saling menghina dan mengeji antara satu sama lain sebaliknya hanya memfokuskan kepada tawaran kepada rakyat.

“Soal calon memang nombor satu tetapi prestasi parti pun orang tahu dah. Rekod Pakatan Harapan (PH), Pas, UMNO  dan Gerakan ini setakat mana, semua orang dah tahu dan akan menjadi antara faktor yang membawa kemenangan.

“Jadi saya rasa eloklah jangan guna medan itu untuk hentam-menghentam. Rakyat dah tahu semua yang berlaku dulu, sekarang dan akan datang sekali pun.

“Kes mahkamah ke, apa ke, semua orang dah tau. Jadi tak payah nak ‘tikam-tikam’ lagi kerana pengundi buat pertimbangan bersandarkan maklumat dan pengetahuan yang mereka ada,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan selepas merasmikan Program Executive Talk Perundangan Perancangan Bersama Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah 2021 di Hotel Raia, Alor Setar, hari ini.

Sementara itu katanya, Pas tidak berdepan masalah untuk memperkenalkan calon walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun terdapat dakwaan mengatakan prosedur operasi standard (SOP) di PRN itu terlalu ketat.

“Saya rasa kita dapat memperkenalkan calon melalui media sosial dengan baik dan di Malaysia ini, pun, orang tahu prestasi kita ini macam mana,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan Pas dan UMNO ketika ini, Muhammad Sanusi berkata, kedua-dua parti itu masih berhubungan menerusi Muafakat Nasional.

“Dalam masa sama, Perikatan Nasional (PN) pun dah berdaftar, ada logo, pengerusi dan semuanya,” katanya. – SB